11 Ogos 2021

Jenazah mak tidak dapat kami semadikan semalam.
Kami akur.
Jumlah kes kematian dirumah mencecah 13 orang di kawasan Padang Jawa sahaja.
Jenazah mak yang ke-14 pada hari itu.
Semua harus mengikut prosedur pemeriksaan Covid.
Itu yang menjadikan urusan pengebumian terpaksa dianjak ke hari ini.
Mujur seisi rumah semua negatif.
Jenazah mak tidak perlu 'post-mortem' kerana Mak sudah lebih setahun 'bedridden'.
Pegawai polis yang bertugas berpuas hati dengan SOP kami.
Selain dari sanitasi diri sebelum masuk kerumah,kami perlu menjalani test Covid-19.
Seawal selepas subuh,
Abang Fozi maklumkan pada kami adik beradik tentang SOP di masjid dan kubur.
"Orang masjid nak 5 orang sahaja waris mandikan jenazah Mak."Abg Fozi memulakan bicara pagi itu.
Aku memandang semua yang ada disitu dan terus mengalih pandangan pada Abang Fozi.
"Ah,aku yang bongsu.Pasti aku tidak dapat peluang ini."bisik hati kecil aku.
"Ami,Lela,Yaya you all mandikan jenazah Mak."arah Abg Fozi.
Mata aku bulat memandang yang lain.
Masih ada dua lagi kakak aku disitu.
Diam membisu.
Lela pula tunduk keletihan.
Besar pengorbanan Lela disaat akhir Mak.
Menjaga mak,menguruskan mak.
Semoga Allah sahaja yang membalasnya...
"Ok Abang Fozi." suara aku memecah kesunyian di ruang tamu.
Aku tidak pernah mandikan mana-mana jenazah.
Tidak juga pernah melihat proses mandi jenazah.
Bahkan tidak pernah hadir kursus pengurusan jenazah.
Tapi,aku tekad dan nekad.
Ini peluang terakhir aku berbakti pada Mak.
Aku harus rebut peluang ini.
Peluang yang tidak akan datang lagi.
Dua orang kakak aku tidak sihat untuk hadir.
Seorang masih dalam tempoh kuarantin.
Seorang lagi dalam perjalanan.
Hanya kami berempat anak mak yang ada disitu untuk mempersiapkan Mak bertemu penciptaNya.
830am
Van jenazah tiba.
Kami memindahkan jenazah mak ke dalam van.
"Ami naik van.Nabil teman Aunty.Yang lain follow terus ke masjid dulu."Abang Fozi memberi arahan.
Mak tiada anak lelaki.
Dalam adik beradik,aku sahaja yang lebih cenderung untuk melakukan banyak perkara.
Aku tahu Abang Fozi mengharapkan aku.
Dia sendiri tidak begitu kuat.
Sebagai bekas pesakit strok,dia sudah buat yang terbaik.
Aku cukup memahami keadaan dia.
Dan aku cukup bersyukur dan berterima kasih untuk segalanya sehingga ke saat ini.
Masjid As Solihin Padang Jawa
Van jenazah mula memasuki perkarangan masjid
Aku dapat lihat dua orang sahabat aku disitu.
Sahabat tempat aku luahkan segalanya.
Aku lambai perlahan dari dalam van.
Aku berpaling pada jenazah mak disisi aku.
"Mak,kita dah sampai masjid.Kita mandi dulu ya mak.." aku bisik pada jenazah Mak.
Pintu belakang dibuka.
Nabil turun disusuli dengan aku.
Kami semua sedia untuk mengalihkan mak ke tempat mandi jenazah.
Anak,menantu dan cucu.
Masing-masing ambil bahagian.
Bermulalah upacara memandikan jenazah.
Aku berada di sebelah kiri mak.
Makcik bahagian pengurusan mandi jenazah ada tiga orang disitu.
Mereka mengarahkan kami untuk gosok tubuh mak dengan air sabun.
Aku angkat sedikit tangan mak.
Ada satu perasaan hadir ketika aku lihat tangan ini.
Tangan yang membesarkan aku.
Tangan yang menyediakan keperluan aku.
Tangan yang mendoakan aku.
Tangan yang merotan aku.
Ya Allah, aku rela di rotan lagi.
Aku rela...
Allah......beratnya ujian Mu ini..
Aku tunduk menahan rasa.
"Ok,kita nak ambilkan wudhu' pula.Siapa nak ambilkan wudhu' Mak?"makcik di sebelah aku mengajukan soalan.
Aku lihat yang lain diam.
"Saya makcik.Makcik tengok saya buat ya." pinta aku.
"Ok.niatkan wudhu untuk jenazah mak" arah makcik dihadapan aku.
"Sahaja aku niatkan wudhu untuk jenazah ibuku ini kerana Allah Taala"
Lalu air aku masukkan kedalam mulut mak tiga kali.
Sewaktu tiba air wudhu kali kedua untuk membasuh muka.
Tangan aku menggigil.
"Allah....
Bersih betul wajah mak.
Cantik mak nak tinggalkan orang." aku bermonolog.
Aku mengetap gigi.
Air mata perlu aku tahan.
Kerana aku tahu,
Setitis pun air mata aku tidak boleh terkena mak ketika ini.
Selesai berwudhu' kami kapan kan jenazah mak.
Jenazah dibuka bahagian wajah sahaja.
Untuk waris lihat buat kali terakhir.
Berikan ciuman yang terakhir.
Aku beri laluan pada kakak-kakak aku dahulu.
Aku memanggil anak sedara,abang ipar dan Mizi untuk melihat Mak sebelum di kapankan sepenuhnya.
Aku panggil juga Huda dan Fid diluar untuk lihat jenazah Mak.
Kemudian,
Aku hampiri Mak.
Aku rapatkan wajah aku sehingga jaraknya seinci dengan wajah mak.
Aku cium pipi mak,cium dahi mak.
Lama.
Terasa sejuk.
Sejuk sehingga timbul rasa aneh mencengkam hati.
Aku sangat berhati-hati ketika ini.
"Mak,rehat ya mak.Terima kasih mak untuk semuanya.Mak tunggu orang di syurga ya Mak.
Maafkan dosa orang Mak.Halalkan makan minum dan air susu Mak pada orang ya Mak.Orang akan tunaikan janji orang Mak.Orang sayang Mak tau!" bisik aku rapat ditelinga Mak.
Aku berjalan keluar dari ruang masjid.
Aku berdiri diluar.
Aku memegang kuat meja yang ada disitu.
Tubuh aku separuh tunduk.
Perasaan bercampur baur ketika ini.
Sedih.
Sesal.
Marah.
Geram.
Allahu Akbar
Aku tak kuat Ya Allah.
Aku tidak mengikuti solat jenazah.
Jubah aku basah bermandikan air mandi jenazah.
Aku hanya tunggu selesai solat.
Aku iringi jenazah mak sekali lagi dari masjid ke tanah perkuburan.
Tanah Perkuburan Islam Padang Jawa,Klang
"Muslimat perlu berada diluar pagar ya." arah pakcik pemandu van jenazah(Tuan Haji Soleh) kepada kami.
Perlahan-lahan aku berjalan keluar dari kawasan tanah perkuburan.
Syukur mak akan dikebumikan di bahagian tepi berhampiran pagar.
Kami semua berdiri dan memerhati dari luar.
Yang memisahkan hanya pagar besi yang sudah usang.
Dari awal jenazah mak di masukkan ke liang lahad..sehingga dikambus dengan tanah,aku teguh berdiri menanti.
Usai bacaan talkin ringkas.
Kami bergilir menyirami pusara mak dengan air bacaan yassin.
Aku berdiri agak jauh dari pusara mak.
Aku lihat Lela bersimpuh ditepi pusara mak menangis.
Aku lihat Chea dan Nina, kakak sulung dan kakak aku yang keenam berdiri tegak tidak berganjak di sisi Lela.
Aku berpaling.
Aku minta diri pada Abg Fozi untuk pulang.
Aku tidak sanggup untuk bertemu Lela ketika ini.
Urusan pengebumian Mak telah selesai.
Tanggungjawab aku sebagai anak pada hari ini, selesai disini.
Allah mudahkan semuanya.
Walaupun dalam keadaan wabak covid yang mengganas,aku masih berpeluang melunaskan tanggungjawab aku sebagai seorang anak.
Tidak pernah terlintas pun difikiran.
Tapi,ini rezeki yang tidak disangka-sangka.
Rezeki yang Allah beri pada aku.
Terima kasih Allah SWT.
Terima kasih Mak 💙
Amie Hashim
18 Ogos 2021
Mohon sedekahkan Al ~ Fatihah
Buat Bonda saya
Maimunah binti Ahmad
5 Mac 1941 - 10 Ogos 2021

Comments