1992

"Ami mana Ami?" jerit mak dari bawah.
Aku diatas dah merasakan satu bencana alam dalam rumah akan terjadi malam ini.
Pintu bilik aku kunci.
Aku matikan diri.
Tak berkuit.
Aku bersandar pada pintu bilik.
"Ami,kau turun sekarang!Kalau aku naik kau tau lah nasib kau!". jerit mak lagi.
Aku mencari-cari sebab mak terjerit-jerit begitu.
Apa salah aku dah buat?
Bukan.
Salah aku yang mana kali ini buat mak mengamuk sebegitu.
Setahu aku mak baru pulang dari pasar malam.
Apa yang terjadi di pasar malam?
Otak aku bekerja keras.
Cuba mengingat.
Aku gagal!
"Kau nak turun ke tak nak ni?Aku naik atas aku ambil kunci baru kau tahu langit tinggi rendah!" suara mak sedikit kendur.
Aku dengar Abah menenangkan mak dibawah.
Aku beranikan diri.
Aku buka pintu bilik.
Langkah aku perlahan separuh menjingkit.
"Cepatlah Ami.Aku hilang sabar dah ni!"jerkah mak.
Aku berkira-kira dalam kepala.
Meneka kesalahan yang mana membuatkan mak betul-betul marah kali ini.
Arghhh!!!
Panjat pokok dekat sekolah?
Panjat bumbung rumah?
Main dalam longkang besar?
Mandi dekat FRIM?
Ponteng sekolah agama?(eh,ni mak tau..)
Aku dah sampai di anak tangga dua terakhir.
Bersedia untuk lari keatas semula jika keadaan tidak terkawal.
"Apa kau dah buat ha?" soal mak sebaik dia nampak kelibat aku.
"Buat apa?" aku betul-betul tidak dapat mengenalpasti kesalahan aku kali ini.
"Apa pasal kau dah lama tak pergi mengaji?" soal mak mendatar.
Habis.
Aku pandang abah.
Abah tak pandang aku.
Bermakna aku betul-betul tidak akan dapat sebarang pembelaan malam ini.
Aku diam.
Air liur tersekat di kerongkong.
"Aku jumpa atuk ngaji tadi.Dia tanya aku kau kenapa dah lama tak pergi mengaji.Apa nak jadi dengan kau ni?" soal mak sambil melangkah ke arah aku.
Sejak bila Atuk pergi pasar malam?
Ah,itu bukan masalahnya sekarang.
Aku bermonolog sendiri.
Mak bergerak ke meja makan.
Hanger diatas meja beralih dalam genggaman mak.
Mak bagai dirasuk.
Hampir seluruh tubuh aku berbilai.
Aku nak lari.
Tapi kekuatan mak tak mampu aku lawan.
"Sakit mak.Jangan mak." pinta aku separuh merayu.
"Masa kau tak pergi ngaji berbulan-bulan kau tak fikir sakit hari ini kan?" tangan mak berhenti dari menghayun hanger ke badan aku.
"Aku hantar kau mengaji supaya kau jadi orang.Kalau kau tak pandai mengaji esok dah tua apa nak jadi dengan kau?".soal mak dengan nada marah dan kecewa.
Aku menahan diri untuk menjawab kali ini.
Aku tidak mahu mak tahu yang aku memang sengaja tidak pergi.
Selalunya aku dah tiba di hadapan rumah atuk untuk mengaji.
Tapi aku sekadar buang masa di luar.
Cukup masa kawan-kawan lain pulang.
Aku turut serta.
Adik beradik aku 3 orang mengaji di rumah Atuk.
Guru mengaji yang kami panggil Atuk.
Atuk suka puji Jaja kakak aku.
Semua yang baik-baik Jaja.
Aku terasa hati.
Kerana perkara yang sama berlaku juga di rumah.
Lama-lama aku bosan.
Aku ponteng.
Aku lepak di taman permainan.
Berdua dengan kawan aku.
Kami sepakat ponteng mengaji.
Itu bukan kali pertama seingat aku.
Aku memang degil.
Aku suka buat perkara yang bertentangan dengan prinsip hidup mak.
Aku tahu mak aku garang.
Mak akan marah.
Mak akan pukul.
Tapi aku suka cari nahas.
Walaubagaimanapun tahun yang sama aku khatam Al-Quran.
Senyum lebar aku.
Lambat.
Tapi dapat.
Cukup.
****************
Mak,
Malam tadi orang buat Bacaan Yassin dan Tahlil untuk mak bersama-sama sahabat dari UiTM.
Walaupun dari mula sehingga akhir majlis penuh dengan linangan air mata.
Orang gagahkan juga mak.
Kembang dan kabur ayat quran.
Tenggalam timbul bacaan orang mak.
Tidak pernah terlintas yang orang akan buat tahlil sendiri untuk mak.
Allah....
Mak,mujur mak hanger orang.
Mak dah sediakan orang untuk berdepan dengan hari seperti semalam.
Kawan-kawan pun bersama sehingga akhir majlis.
Alhamdulillah..
Terima kasih sahabat. 💙
Amie Hashim
14 Ogos 2021

Comments