May 2000
"Assalamualaikum...mak ooo mak..."
Aku membuka kasut bata hitam dan terus masuk ke rumah.
Mata aku tertangkap pada mesin jahit singer di tengah rumah.
Kelihatan kain batik merah tua bercorak bunga kuning separuh berjahit.
"Hish,kau ni terkejut aku la..." mak berjalan keluar dari dapur dan duduk di kerusi hitam menyambung jahitan.
"Mak nak buat apa ni mak?" soal aku.
"Eh,jahit kain batiklah.Buat apa lagi?" jawab mak selamba.
"Yela..tau.Tapi nak buat apa? Mak bukan pakai sangat pun." balas aku sambil meninjau plastik-plastik yang bersepah di tepi mak.
"Untuk kau la.Nak pakai nanti.Nak bawa pergi sana."
Kaki mak terus memijak pedal mesin jahit.
Makin laju.
Selaju degupan jantung aku ketika ini.
"Ha??mak...tak payahlah mak.Tak nak la pakai kain batik.Pakai seluar sudahlah.Alahhhh mak..." rengek aku.
Aku berjalan ke sofa dan menghempas kan diri.
Mata masih tertumpu pada kain batik dan mak.
"Eh kau jangan sibuklah.Bukan aku suruh kau jahit pun.Kau tu pinggang pun takde.Aku kecikkan sikit kain ni.Ha,siap pun.
Sudah aku nak ke dapur.Kau kemas semua ni." mak terus bangun meninggalkan aku.
Aku bangun.
Membuntuti mak ke dapur.
Masih tak berpuas hati.
"Mak, bestkan mak dapat masuk U?".aku mula kan perbualan.
"Ntah.mana aku tau.Aku tak pernah masuk pun".
mak jawab tanpa memandang aku.
Tangannya sibuk menyusun pinggan mangkuk.
"Tak sabarnya orang...nanti habis belajar lepas tu belajar lagi lepas tu belajar lagi....."
"Bilanya kau nak kerja?belajar belajar.Belajar pun malas." laju mak memintas kata-kata aku.
"Tak nak kerjalah.Tak best".jawab aku dengan memuncung bibir.
"Habis,kau nak aku tanggung kau sampai tua?" mak menjegilkan matanya.
"Itupun nak marah.Mak ni asyik marah jela.Cakap sikit pun nak marah."nada suara aku sedikit turun.
Airmata mula bergenang.
Setiap kejayaan aku dari sekolah rendah ke menengah,tidak pernah aku nampak riak gembira di wajah mak.
Tidak pernah.
Kadang-kadang aku menjeruk rasa.
"Eh,bau stokin kau busuklah.Kau pergi mandi sekarang..gosok kaki kau tu!" suara mak memecah suasana.
"Mana ada?Ok je takde bau pun." aku bersila sambil menarik tapak kaki kanan ke hidung.
"Eee..kau ni pengotor betul.Mana ada orang busuk rasa diri dia busuk.Bau tungau dah.Pergi sana tukar baju kita makan."tangan mak menepis bahu aku berkali-kali.
"Mak kata orang bau tungau,mak ingat mak wangi sangat ke?" sindir aku.
"Memang aku wangi.Ha kau baula.Mari sini bau.Bau ketiak aku dulu."mak mula mendepangkan tangan menuju ke arah aku.
"Tak nak lah mak..mak ni tak senonoh lah.Orang tukar baju dulu pastu turun makan."aku berlari keluar dari dapur.
Aku masuk bilik.
Barang-barang persiapan ke UiTM hampir siap.
Aku duduk termenung.
Mengenangkan nasib aku dan kain batik tadi.
Seram.
"Mi,kau tukar baju ke betapa?" jerit mak dari bawah.
"Betapa...be...tapa ku cinta.... padamu....".aku jawab dengan menyanyi bait kata lagu siti nurhaliza.
"Kau turun cepat.Jangan nak melalak-lalak dekat atas.Aku lapar dah ni." jerit mak lagi.
"Ye ye..turun ni..." balas aku.
Beberapa hari sahaja lagi tingkatan 6 akan aku tinggalkan.
Sedih dan gembira bercampur rasa.
........
Itulah mak.
Begitulah kehidupan aku semasa dengan mak.
Dia tak pandai tunjukkan kasih sayang.
Dia garang.Dia agak kasar orangnya.
Tapi, aku tahu dia sayang aku.
Kalau tidak, tak kan sampai kain batik pun mak sediakan.
Antara keperluan yang tidak perlu bagi aku.
Seram menjelma lagi bila terkenang.
Jun 2000 ~ daftar UiTM, Shah Alam
Amie Hashim
13 Ogos 2021
Comments
Post a Comment