1990 Abah Pencen
Semasa aku tahun 2, Abah menjadi pesara guru. Bermulalah, kejadian-kejadian aneh dan memalukan (dahulu) dan mencuit hati (kini).
Abah aku seorang yang sangat tegas, garang, tidak gemar bersosial dan bukan jenis membebel. Persamaan dengan Mak - Garang. Tetapi Mak, garang, kuat membebel dan suka pukul dengan apa sahaja yang berhampiran. Ala-ala gangster Mak aku ni.
Berbalik pada Abah. Abah tidak banyak bercakap orangnya. Kami adik beradik faham-faham sendiri. Kami tidak akan buat apa sahaja yang Abah tidak suka. Dalam kes ini, aku berkecuali. Dalam erti kata lain, aku tak makan saman.
Tanda pangkah kuning di dalam gambar adalah tempat yang Abah akan tunggu aku semasa pulang dari sekolah. Hanya 2 tempat itu sahaja. Jika tiada, maka berjalan kakilah aku pulang pada hari tersebut. Aku lebih gemar jika Abah tidak menjemput aku pulang.
Pertama kerana, aku dapat beli aiskrim Malaysia perisa asam boi dari rumah hujung berhadapan dengan sekolah. Rasa asam boinya sehingga ke titisan akhir plastik aiskrim. Sungguh!
Kedua, jika cuaca panas Abah akan balut kepala dia dan juga aku dengan plastik. Oh ya! Aku akan membonceng basikal bersama Abah. Oleh kerana itu, kami memerlukan plastik kerana sukar untuk berpayung ketika berbasikal. Jika hari hujan, kami berdua akan memakai baju hujan bewarna kuning. Sebenarnya, aku malu memakai plastik dikepala. Boleh sahaja Abah bawakan aku topi, tetapi dek kerana Abah seringkali tidak jumpa dan malas ingin mencari, dia akan bawa lebih plastik. Aduhai Abah. Sampai begitu Abah menjaga aku. Terima kasih Abah!
Ketiga, Abah ingin pastikan aku pulang awal kerana aku perlu berlatih bermain biola. Selalunya, hati aku 10% sahaja sewaktu latihan. 90% lagi sudah di kedai uncle terbayangkan coca cola ais penuh plastik ikat tepi dinikmati bersama cloud9.
Adik beradik aku semua boleh bermain alat muzik. Tiada pilihan. Kami wajib belajar waima satu alat muzik. Aku boleh bermain biola dan organ. Tapi sekadar bermain. Aku tiada hati pada muzik. Bagi Abah, jika tidak pandai dari segi pelajaran kami masih boleh menampung kehidupan dengan bermain muzik. Hanya seorang sahaja yang mengikut jejak Abah. Kakak aku Lela berjaya belajar ke luar negara hanya dengan muzik dan menjadi guru muzik.
Bahagian paling mencabar apabila belajar dengan Abah adalah, aku perlukan 'filter' dari segi kata-kata dan juga air liur. Abah kalau mengajar, dia seolah-olah lupa yang kami ini darah dagingnya. Belajar terus pandai. Selagi tidak dapat apa yang diajar, selagi itulah aku disitu. Makan tidak. Ke tandas pun tidak. Dan yang lebih menyedihkan, bila Abah mula bercakap dalam keadaan marah, habis air liur dia tempias ke muka aku. Waktu inilah selalunya Mak akan lalu dan membuat aksi memakai payung. Aku hanya mampu menjeling Mak. Aku terfikir juga. Apa perasaan bekas pelajar MRSM yang turut merasa tempias ini. Ah, tempias ilmu itu bagus. Redha dan pasrah sahajalah.
Abah, 32 tahun telah berlalu. Namun, masih jelas di ingatan sosok tubuh tua berbasikal tatkala matahari tegak di kepala. Setia menanti anak bongsunya di hadapan pagar sekolah. Pencen di usia 62 tahun menjadikan Abah tidak betah duduk sahaja di rumah. Abah lebih gemar melakukan aktiviti bagi mengeluarkan peluh.
Abah, akan ku kenang setiap memori pahit dan manis kita bersama. Akan ku abadikan ianya bukan sahaja di minda tetapi dengan tinta diatas lembaran putih bersih.
P/S Tanda merah kelas aku semasa tahun 2.
Tahun 2B
TBC
#motherof4 #diarisisurirumah #bilaamiehashimmenulis #kisahAbah
Comments
Post a Comment