Selamat Tinggal Semua
Semalam sebelum tidur aku teringatkan Mak.
Hampir 2 jam aku ambil masa untuk lelapkan mata.
Kesudahannya, aku google ga
mbar rumah lama kami di Taman Ehsan.
Ya Allah, rindu datang menerpa tatkala aku melihat rumah ini semula.
Walaupun keadaannya jauh berbeza, namun ianya masih mampu membuatkan aku mengimbau kembali nostalgia 30 tahun dahulu. Terlalu banyak kenangan yang dicipta bersama Mak dan Abah dirumah ini. Rumah terakhir Abah sebelum dia di jemput pulang ke sisi Allah SWT.
Rumah ini kami sewa dari seorang penyewa berbangsa india.Uncle Raja namanya. Orangnya baik, tutur katanya lembut. Setiap bulan apabila tiba masa untuk Mak membayar sewa rumah, aku pasti berdiri di belakang Mak. Aku ingin cakna apa jua yang berlaku. Dalam erti kata lain 'busybody'.
Pada awal tahun 1997, sewa rumah ini RM800 sebulan. Aku terdengar, keluhan Mak pada Abah tentang kenaikan sewa itu. Walhal, Uncle Raja selama ini sangat bertimbang rasa. Masakan dia sanggup menaikkan kadar sewa yang sangat tidak masuk akal. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Uncle Raja sendiri mahu tinggal disitu. Isu kenaikan sewa hanya sebagai batu loncatan.
29 Jun 1997
Kami sekeluarga terpaksa berpindah. Mak sudah tidak mampu untuk mempertahankan rumah ini. Aku tahu Mak sedih meninggalkan jiran dan sahabat-sahabat susah senangnya disini- Makcik Ana dan Makcik Ani. Tapi apakan daya.
Pada hari tersebut, aku berada di asrama. Aku tidak dapat pulang kerana perlu mengikuti rombongan ke Sungai Congkak. Walaupun hati meronta-ronta ingin mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir, aku akur dengan takdir.
Rupa-rupanya bukan sahaja aku tidak dapat mengucapkan selamat tinggal pada rumah yang banyak meninggalkan memori zaman kanak-kanakku, aku juga tidak dapat bersama Abah ketika dia menghembuskan nafas terakhirnya di dunia ini.
Di saat Mak dan adik beradikku berhempas pulas mengangkat barang untuk berpindah kerumah baru kami di Kuang, Abah meminta untuk menghantarnya ke Hospital Sungai Buloh. Abah ketika itu menderita sakit gout dan tidak mampu untuk berjalan. Tanpa berfikir panjang, Mak menuruti sahaja permintaan Abah. Bagi Mak, lebih mudah jika Abah di pantau oleh doktor dari berada dalam keadaan tidak selesa dirumah yang serba kekurangan.
Ketika itu, tiada siapa yang perasan akan perubahan pada diri Abah. Abah sangat tidak suka akan hospital. Setiap kali ingin mendapatkan rawatan susulan, dia pasti berkeras untuk ke klinik sahaja mendapatkan suntikan.
Tepat pukul 5 petang, Abah telah pun berada di dalam wad. Kedua abang iparku dan kakakku yang sulung mohon untuk pulang mandi dan solat serta berjanji akan datang semula. Masing-masing sudah kepenatan kerana seharian membantu kami berpindah rumah.
Setibanya kakakku dirumah, kedengaran telefon rumahnya berdering tanpa henti. Sebaik sahaja panggilan dijawab, seakan dunianya berhenti tiba-tiba. Pihak hospital memaklumkan bahawa Abah telah pergi menghadap ilahi pada pukul 5.08 petang. Waris diminta hadir. Mudah sungguh Abah pergi. Tetapi sukar bagi kami. Bagi aku.
TBC
#motherof4 #diarisisurirumah #bilaamiehashimmenulis #kisahAbah
Comments
Post a Comment